LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages

3/7/13

BEBERAPA PETUA BAGAIMANA MEMBINA SIKAP POSITIF







1. SASARKAN KEJAYAAN

Apa yang kita lakukan mesti ada sasarannya. Kalau kita hidup tanpa sasaran ( matlamat ) sama seperti kayu yang hanyut di sungai. Tak tahu bila nak tersangkut , tak tahu juga bila nak tenggelam.

  • Kita  biasanya akan berjaya  ketahap apa yang kita sasarkan  atau yang orang lain sasarkan terhadap kita. Jadi sasarkan kejayaan setinggi yang boleh. 
  • Sasaran untuk berjaya yang digambarkan dengan lengkap , kuat dan berulang kali akan membawa minda kita kearah apa yang disasarkan. Secara tak langsung seluruh tindak tanduk, emosi, focus , penampilan dan persekitaran kita akan bergerak atau menuju kearah yang kita gambarkan. 





2. BUANG FIKIRAN NEGATIF


  • Buang fikiran yang mengatakan bahawa kita susah nak berjaya, tiada harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan . 
  • Buangkan dipemikiran kita tentang halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.



3. PELAKON YANG CEMERLANG


  • Bab ini amat jarang dilakukan, tetapi kalau anda dapat lakukan ia akan memberi kesan yang amat besar. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Berfikir, bercakap dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda.
  •  Anda akan dapati mereka di sekeliling anda menyedari yang anda kini sentiasa positif. Kebaikan yang  anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model atau mentor ikutan anda.


4. SENTIASA BERMOTIVASI

Kita sebenarnya bukan bagus sangat pun. Ada ketikanya bersemangat dan ada ketikanya mulalah hilang focus. Lupa  matlamat yang disasarkan. Sibuk buat benda lain, mula terasa malas dan bosan. Semua tu dah lumrah. Jadi kita perlukan beberapa perkara untuk mengekalkan semangat dan sikap positif kita.


  • Paparkan matlamat  atau sasaran kita ditempat yang mudah dilihat seperti meja kerja/study, dinding bilik, wallpaper pada computer/handphone atau mana saja tempat yang mudah dilihat  hari-hari.
  • Melakukan perkara kearah matlamat anda secara berkumpulan atau bersama kawan-kawan yang mempunyai matlamat yang sama. Secara tak langsung kita akan sama ingat mengingati.
  • Membaca buku-buku bercorak motivasi.
  • Menonton filem atau video yang boleh menaikkan semangat dan motivasi anda.
  • Menghadiri kursus , program atau ceramah motivasi.


Semakin banyak ilmu kecemerlangan yang kita dalami semakin kuat dan matanglah sikap positif kita.








5. FOKUS

Cuba anda melakar suasana di sebuah padang permainan selama 5 minit. Anda lakarkannya mengikut apa yang tergambar di fikiran anda sekarang . Setelah melakar cuba bertanya adakah ada lakaran kanak-kanak bermain bola ? atau kanak-kanak bermain layang-layang.
Jika tiada maka kenapa begitu ?  Ini adalah kerana anda tidak langsung tergambar tentangnya. Ini adalah contoh termudah bagaimana sesuatu itu jika tidak digambarkan dalam fikiran maka tiadalah hasilnya.
Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.
  • Untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan!



6. LAGI TIP UNTUK LEBIH FOKUS

Cuba anda fikirkan . Dapatkah anda berubah dengan berkata begini ?

  • Mulai hari ini aku tidak malas lagi. 
  • Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi. 
  • Mulai hari ini aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi. 
  • Mulai hari ini au tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.

Positifkah anda ? Sebenarnya tak memberi kesan yang positif  ! Bahkan memberi kesan yang negatif kerana anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu.
Sebenarnya anda tergambarkan bagaimana anda malas dalam membuat kerja. Anda terbayangkan bagaimana anda melawan cakap bos, guru , ibubapa dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil! Sama seperti contoh melakar padang permainan tadi. Sebenarnya anda menghasilkan sesuatu yang negatif walaupun hasrat anda baik.
Apa yang perlu anda lakukan adalah anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:

  • Aku seorang yang rajin. 
  • Aku solat lima waktu. 
  • Aku akan tumpu pada guru dalam kelas. 
  • Aku ikut cakap ibu bapa.




Tahukah anda bahawa kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif.

  • Jika berkata yang positif maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. 
  • Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti.

Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif.

( Amalkan sewaktu berdoa gunakanlah kata-kata positif dan tepat )



7. KENANGKAN KEMBALI KEJAYAAN SILAM


Renungkan kembali masa silam anda dan cari semula apa saja kemenangan atau kejayaan yang pernah anda cipta dan anda berbangga dengannya. Tak kisahlah kejayaan itu di capai secara kumpulan atau sorang-sorang tanpa orang lain mengetahuinya. Senaraikan dalam diari anda semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar.


  1. Baca dan hayati apa yang anda tulis itu satu persatu.
  2. Gambarkan keadaan ketika itu.
  3. Rasakan perasaan anda ketika itu.
  4. Dengar apa yang anda dengar ketika itu. 
Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan anda akan dapat rasakan satu getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat nadi anda.
Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya buatlah perkara yang sama. Semangat anda akan kembali membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang positif.

  • Sentiasa kemas kini dairi  anda ini dengan kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda.
  • Rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman video. 
Catatan atau rakaman anda ini amat berguna pada setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa –



8. KATA-KATA PERANGSANG

Untuk mengekalkan semangat dan fikiran positif kata-kata perangsang amat berguna. Contohnya;

“Orang lain boleh.. Aku pun BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”

Kata-kata tersebut mestilah yang boleh merangsang jiwa dan fikiran. Boleh juga gunakan petikan mutiara kata daripada mentor, petikan al-quran serta hadith. Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia melekat  dalam minda anda. ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah.



9. TANYA DIRI SENDIRI

Antara tip yang selalu berkesan dalam membina semangat dan sentiasa diamalkan orang berjaya adalah dengan sering bertanya kepada diri mereka sendiri soalam-soalan seperti berikut;

Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
Apa yang belum aku selesaikan lagi?
Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku?
Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?

Anda lebih positif terhadap apa yang berlaku dengan soalan-soalan seperti ini . Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin berkualitilah diri anda.

Manakala cuba anda renungkan ; Selalukah anda mengucapkan soalan-soalan seperti ini pada diri sendiri ?

Nak buat macam mana aku ni lemah.
Engkau lain aku lain.
Engkau bolehlah aku ni siapa.
Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah..

Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah..
Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.

Soalan seperti ini sama seperti anda mengutuk, memperkecilkan diri atau mengakui diri anda  ini lemah .



Soalan yang positif dapat memberi anda

  • Megubah persepsi dan cara fikir kita
  • Mengubah fokus kita
  • Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita


10. PENAMPILAN

Walau siapa pun anda. Bidang yang anda ceburi, bentuk badan anda atau warna kulit , penampilan diri adalah tersangat penting dan berpengaruh dalam membentuk imej yang positif. Kerana kita akan mudah dikenali sebagai seorang yang bersikap positif melalui percakapan, pakaian , gaya rambut, kasut dan sebagainya. Apabila orang sekeliling melihat kita bersikap dan berperibadian positif maka ia akan memberi kita banyak kelebihan.

  • Penampilan kita mestilah bersesuaian dengan keadaan dan majlis. Baca dan teliti tema atau syarat berpakaian yang ditetapkan dalam kad jemputan. Jika batik maka batiklah yang mesti dipakai. 
  • Jika tiada tetapan cara berpakaian tampilkan diri dengan sewajarnya. Walau bagaimana positif pun sikap anda, anda akan rasa bersalah dan rendah diri sekiranya penampilan anda tidak bersesuaian dengan majlis.
  • Perasaan dan emosi kita akan lebih yakin dan positif sekiranya kita sentiasa dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. 
  • Jangan berlebih-lebih kalau hanya untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk. Jangan sampai merugikan anda. Ini akan menbuat orang lain berasa kekok apabila bersama anda.
  • Sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai oleh orang lain  dari segi kebijaksaan , karier , kedudukan dalam masyarakat ,  sikap , peribadi  dan semuanya melalui penampilan anda.


 Ada beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri: 

  1. Senyum - Senyuman yang ikhlas akan memberi anda seribu satu macam kebaikan.
  2. Potongan rambut  - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
  3. Wajah – Wajah yang sentiasa bersih dicuci. Bercukur atau berjanggut/misai yang kemas.
  4. Kuku – Sentiasa bersih dan dijaga rapi.
  5. Gigi – Putih bersih. Gigi adalah di antara factor penampilan diri yang paling kerap dinilai. Seseorang itu walau wajahnya kurang kacak tetapi giginya putih bersih akan lebih disenangi berbanding seseorang yang berwajah kacak tetapi giginya buruk.
  6. Pakaian – Bersesuaian dengan majlis, pilihan warna dan corak yang ‘matching’, kemas dan rapi ( sentiasa digosok ) dan kasut yang sesuai .
  7. Aksesori – Jam tangan, gelang dan rantai dan sebagainya.
  8. Haruman – Pilih haruman yang sesuai.
  9. Gadget – Penting dan bersesuaian.
  10. Jenama – Ikut kemampuan.
  11. Gaya – Mimik muka, cara bercakap, ketawa, berjalan dan sebagainya ( Praktikkan didepan cermin )
  12. Kesihatan – Pastikan anda sentiasa sihat untuk kecerian wajah dan kelihatan sihat.


11. PERGAULAN

Pergaulan sebenarnya amat memberi kesan  kepada sikap , pemikiran dan tindakan harian kita.

  • Bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka. 
  • Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.


12. MENTOR


Sesiapa pun yang berjaya mempunyai mentornya sendiri. Mentor adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya.







  1. Kenal pasti mentor anda. Lebih dari seorang pun tak mengapa . Terutamanya mereka yang telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi.
  2. Cuba dapatkan gambar mereka.
  3. Baca juga kisah hidup mereka.
  4. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak.
  5. Cari potongan kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup.
  6. Selami falsafah hidup mereka .
  7. lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam hidupnya.

Jadikan pengalaman ,pengorbanan dan jati diri mentor anda sebagai panduan untuk mencapai kejayaan. Mentor anda juga boleh dijadikan guru untuk membimbing anda.

Namun begitu sebagai orang Islam, Mentor ikutan kita yang pertama pastilah Nabi Muhammad S.A.W.



13. ILMU DAN GURU

Tiada orang  berjaya tanpa ilmu. Nicol David tak akan jadi pemain nombor 1 dunia kalau beliau tiada ilmu , jurulatih dan mentor. Siti Norhaliza juga tak akan jadi penyanyi tersohor kalau beliau tiada ilmu , jurulatih dan mentor.


Jadi tambahlah ilmu anda.  Belajarlah setinggi yang boleh.  









SEKIAN, SEMOGA BERJAYA.














0 ulasan:

Post a Comment